Pagi ni naik kereta nk p kerja terkejut dgr berita nie... Shamrin, vokalis kumpulan Fotograf meninggal dunia petang semalam..... DariNYA kita datang, kepadaNYA juga kita kembali... AL-Fatihah..
Shamrin Fotograf meninggal dunia
KUALA LUMPUR 11 Nov. - Penyanyi kumpulan Fotograf yang popular sekitar 90-an, Mohd. Shamrin Abdul Samad (gambar), 43, meninggal dunia selepas rebah ketika bermain bola sepak bersama-sama rakan artis di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini hari ini.
Shamrin kemudiannya dikejarkan ke Hospital Pakar Al Islam Kampung Baru dan disahkan meninggal dunia pada pukul 6 petang disyaki akibat serangan sakit jantung.
Menurut rakan baiknya, Shaiful Azri Mohd. Ariffin atau Riot yang ditemui di hospital tersebut, arwah ada menghubunginya pada pukul 2 petang untuk menumpang tidur di rumahnya di Kampung Baru kerana keletihan.
"Saya mengalu-alukan kedatangan arwah memandangkan sudah empat bulan lebih kami tidak berjumpa.
"Kebetulan, kami ada perlawanan bola sepak persahabatan dengan syarikat korporat pada sebelah petang," cerita bekas anggota kumpulan Kool itu.
Namun katanya, selepas 45 minit bermain, Shamrin mengangkat tangannya sebagai isyarat untuk berehat sebentar.
Tambah Riot, dia menjangkakan arwah hanya ingin membetulkan tali kasutnya.
"Tetapi, perlahan-lahan dia rebah dan tidak sedarkan diri.
"Kemudian kami terus membawanya ke hospital. Namun doktor mengesahkan arwah sudah berhenti bernafas," jelasnya dalam nada yang begitu sebak.
Sementara itu, isteri Shamrin yang sarat mengandung sembilan bulan, Jazrizatul Akmar, 29, tidak berdaya menjawab soalan yang diajukan wartawan kerana terlalu sedih dengan kehilangan suami tercinta.
Jenazah Allahyarham Shamrin akan dibawa pulang ke kediamannya di USJ Subang dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 sebelum solat Jumaat esok.
Allahyarham yang popular dengan lagu Di Alam Fana Cintamu itu meninggalkan seorang balu bersama dua anak, Akmal Danish, 5, dan Akmal Shamim, setahun setengah.
Allahyarham juga mempunyai seorang anak, Siti Najwa, 17, hasil perkahwinan pertamanya dengan bekas isteri, Noreda Mohd. Razali.